Home Fishing Bottom SUASANA TENANG DI ALOR SETAR

SUASANA TENANG DI ALOR SETAR

Pancingan Santai Turun Temurun Penduduk Kampung

Artikel oleh A. Sabri Harun (Octo)

Orang kampung ronda-ronda memancing menggunakan joran teleskopik

Terletak di pinggir bandaraya Alor Setar, Kedah, bendang di Kampung Tok Bidan yang terbentang luas berhampiran rumah memudahkan saya memancing sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Sebanyak dua sesi dalam satu hari. Sesi pagi bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir lebih kurang pada jam 9.00 pagi bilamana panas matahari sudah mula menggigit kulit.

Manakala sesi petang pada kebiasaanya akan saya mulakan selepas Asar dari jam 5.00 petang hingga waktu sebelum Maghrib.

Gelanggang luar bandar ini yang mempunyai penghuni ikan endemik (ikan asal tempatan) dan beberapa spesies ikan dari luar negara merupakan satu kelebihan kepada pemancing untuk merasai kenikmatan memancing secara tenang dan selesa.

Lebih mengujakan lagi ikan-ikan ini amatlah sedap untuk dijadikan makanan masakan tempatan seperti masak lemak cili api, gulai kari kampung atau digoreng garing dan diratah begitu sahaja.

Ikan-ikan tempatan seperti Sepat Ronggeng, Puyu, Keli Sawah, Haruan, Belut terdapat hampir sepanjang tahun dan merupakan antara sumber protein dan ekonomi sampingan yang boleh dikatakan agak penting bagi penduduk sekitar yang menjadikan ikan-ikan ini sebagai salah satu dari sumber makanan.

Manakala ikan Lampam Jawa (asal dari negara Indonesia) dan Sepat Siam (asal dari negara Thailand) pula adalah spesies dari luar negara yang sudah berpuluh tahun bermastautin di sini juga menjadi antara pilihan utama hidangan di meja makan.

Dengan terdapatnya banyak spesies-spesies ikan ini, maka sumber protein dalam bentuk daging ikan ini mudah didapati di bendang-bendang, taliair serta sungai. Ini menjadikannya murah untuk dibeli dalam bentuk mentah, kering atau dalam bentuk pekasam.

Puyu ialah tangkapan normal di sawah padi.

Suasana tenang lagi selesa serta tiada hiruk pikuk kota besar Kuala Lumpur, membuatkan sesi memancing di sawah padi atau bendang satu pengalaman yang sangat mengujakan.

Sudah lebih dari 15 tahun saya tidak memancing di gelanggang pancing sebegini kerana saya lebih memfokuskan sesi pancingan di laut, pantai, sungai hutan dan sungai pergunungan serta beberapa lokasi luar negara.

Penduduk tempatan santai memancing untuk mencari lauk yang tidak perlu dibeli di pasar.
Sepat Siam yang sedap dibuat pekasam

Jarak perjalanan dari rumah ke gelanggang-gelanggang pancing ini hanyalah sekitar radius kurang lebih 5km atau kurang dari 20 minit perjalanan bermotosikal.

Dengan motosikal, kami lebih mudah masuk ke lorong-lorong sekitar kampung serta jalan-jalan sempit lagi kecil di tepian bendang yang seluas saujana mata memandang. Lokasi demi lokasi kami geledah dalam masa beberapa minggu.

Apakah kesudahan dengan trip-trip geledah saudara penulis ini. Ikuti artikel selanjutnya di dalam e-Magazine Pancing & Outdoor, baca secara percuma di https://www.yumpu.com/id/document/read/65904084/pancingoutdoor