Home Adventure Perak tutup sementara 14 kawasan rekreasi, hutan simpan

Perak tutup sementara 14 kawasan rekreasi, hutan simpan

Credit (CP):BH Online

IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) akan menutup sementara 14 kawasan rekreasi, riadah atau hutan simpan yang mempunyai air terjun berkuat kuasa serta-merta sehingga cuaca sesuai dilawati pengunjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata bagi tujuan itu, satu perbincangan bersama Pengarah Jabatan Perhutanan akan diadakan mengambil kira insiden berlaku akibat kepala air baru-baru ini.

“Tadi saya berbincang dengan Mohamed Zin (Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop) yang mana kita nasihatkan kawasan terbabit agar ditutup sementara waktu daripada kunjungan orang ramai kerana nampaknya bertimpa-timpa kejadian semisalnya berlaku.

“Harus diingat apabila mandi-manda ketika cuaca gelap, kawasan sebelah atas akan terkena hujan dahulu, itu kita panggil kepala air.

“Maka air hujan yang deras dan besar akan turun dan menimpa sesiapa sahaja di bawah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 anjuran JPNPk di Taman Eko Rimba, Kledang Saiong di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas kejadian menimpa dua pendaki wanita yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras akibat kepala air ketika mendaki di Gunung Suku, dekat Simpang Pulai, di sini, yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Suku, pada Ahad lalu.

Sementara itu Saarani berkata kerajaan negeri mempertimbang untuk memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) termasuk mewajibkan khidmat malim gunung dalam setiap aktiviti pendakian khususnya di kawasan hutan simpan di bawah kelolaan JPNPk.

Katanya, ia sebagai langkah menjamin keselamatan pendaki ketika berada di kawasan kelolaan JPNPk supaya kurang risiko ditimpa bencana serta tragedi.

Sila share jika anda dapati berita ini menarik untuk dikongsikan. Terima kasih