Home Fishing Bottom MEMORI PULAU MIDAI, INDONESIA

MEMORI PULAU MIDAI, INDONESIA

By: Maxx Akasah ([email protected])

2 minutes reading

Semenjak kekengkangan COVID-19 di seluruh dunia, aktiviti memancing di seberang menjadi amat terhad membuatkan saya terkenang memori trip memancing ke sebuah wilayah di Negara Indonesia yang jarang dikunjungi pemancing terutamanya dari Malaysia iaitu Pulau Midai, berhampiran pulau Jemaja dan Natuna.

Jelajah Pulau Midai, Natuna Indonesia

Kewujudan ratusan pulau di kepulauan Riau telah lama menarik minat kami dari Team D7L. Perbagai faktor yang telah menjadi penghalang pemancing dari negara kita untuk menerentasi perairan Kepulauan Riau. Perairan kepulauan Riau yang meliputi perairan kepulauan Jemaja dan Natuna amat kaya dengan hasil gas dan minyak amat dijaga ketat oleh pihak maritim dan tentera laut Indonesia. Walaupun kedudukannya amat dekat jika melalui perairan Johor atau Pahang, perairan tersebut amat sukar dibolosi kerana kawalan ketat dari pihak berwajib Indonesia yang lengkap dengan senjata api berat.

Ini antara sebab perairan ini amat kaya dengan hidupan marin. Di sana terdapat ribuan lubuk atau spot ikan yang masih belum diterokai oleh pemancing.

Justeru selepas pelbagai kejayaan Team D7L meneroka di sekitar Perairan Kepulauan Riau seperti  di perairan Pulau Jemaja, Pulau Malang Biru dan Pulau Anambas. Kami bercadang untuk melangkah lebih jauh dari pulau-pulau yang pernah kami singgahi. Selepas perbincangan dibuat, kami dari team D7L telah memilih Pulau Midai atau Pulau Mida yang terletak di Pulau Natuna.

Selepas memilih hari yang sesuai, kami seramai 13 orang menuju ke Pulau Bintan sebelum menuju ke Pulau Midai. Perjalanan melalui Pulau Bintan merupakan salah satu opsyen untuk ke Perairan Kepulauan Riau secara sah. Di sana juga terdapat perkhimatan bot memancing yang bersedia untuk memancing di perairan sekitarnya.

Info Pulau Midai

Pulau Midai atau Mida merupakan salah satu dari 141 buah pulau yang berada di bawah pemerintahan Kabupaten Natuna, Provinsi Kepulauan Riau. Ia merupakan pulau yang terbentuk dari letusan gunung api, iaitu secara beransur dari dataran pantai yang sempit hingga menjadi daerah berbukit di bahagian tengah pulau. Ketinggian kawasan  berbukit  dianggarkan dari beberapa puluh meter hingga 140m. Pulau ini hanya berkeluasan 18km sahaja.

Walaupun pulau ini dikelilingi oleh lautan , sumber pendapatan penduduk pulau Midai ialah bertani. Pulau Midai terkenal dengan pengeluar KOPRA sejak zaman Kesultanan Riau Tahun 1886. Kopra adalah bahan yang terhasil dari isi kelapa yang telah dikeringkan. Selain itu. pulau ini juga terkenal sebagai pengeluar cengkih terbaik di dalam Wilayah Natuna. Boleh dikatakan, cengkih yang berasal dari Pulau Midai adalah antara yang paling mendapat permintaan tinggi di Indonesia. Pulau Midai diperintah oleh seorang wakil dari pemerintahan Kabupaten Natuna, Provinsi Kepulauan Riau.

Cengkih menjadi komoditi utama di pulau ini.

22 Jam!

Kami menggunakan khidmat bot Sea Star yang berpangkalan di Pulau Bintan, Indonesia. Kali ini persiapan lebih rapi dibuat oleh pemilik bot memandangkan ini merupakan pertama kali bot Sea Star bergerak jauh hingga ke kawasan kepulauan Natuna. Kapasiti minyak diesel, makanan dan ais ditambah sebagai persiapan untuk ke sana. Awak-awak bot juga amat teruja dengan trip kali ini kerana mereka juga tidak pernah menjejakkan kaki lagi ke Pulau Midai. Hanya tekong Am sahaja yang pernah ke sana itu pun pada 8 tahun yang lepas.

Kami akan melalui perjalanan yang jauh dan mengambil masa 22 jam untuk tiba ke kawasan Pulau Midai. Kami juga tidak meletakkan harapan tinggi pada trip kali ini kerana trip ini 100% trip ekprolasi ke tempat yang tidak pernah kami jejaki dan tekong Am juga tidak mempunyai sebarang panduan dan lubuk di sana.

Perjalanan yang jauh amat memeritkan kami. Nasib baik bot dilengkapi dengan bilik tidur yang luas serta berhawa dingin. Maka tempoh perjalanan kami hanya dipenuhi dengan aktiviti makan dan tidur. Bot hanya berhenti seketika untuk mengisi minyak dan pemeriksaan engin sebelum bergerak semula. Set memancing telah lama bersiap sedia untuk beraksi menyebabkan kami tertunggu-tunggu bilakah perjalanan kami akan berakhir.

 Tiba di Pulau Midai

Selepas mengharungi perjalanan yang sangat lama, akhirnya kami tiba di Pulau Midai. Perkara pertama yang perlu kami lakukan ialah singgah ke Pulau Midai untuk mendapat kebenaran memancing di persekitaran perairan Pulau Midai dari wakil pemerintah. Kami tiba di jeti Pulau Midai pada pukul 10.00 pagi. Kelihatan banyak bot nelayan yang bersaiz kecil berlabuh di jeti. Selain itu kehadiran kami bersama bot Sea Star telah menarik perhatian masyarakat di Pulau Midai. Selepas bot berlabuh, kami disambut oleh penduduk dan kanak-kanak dari pekan berhampiran.

Ternyata mereka kelihatan kehairanan dengan kedatangan kami. Selepas bersalaman dengan mereka, kami terus menuju ke Postal Midai iaitu pejabat pegawai pemerintah di Pulau Midai. Kelihatan seorang lelaki lengkap berpakaian askar menyambut kedatangan kami. Segala permohonan memancing di Pulau Midai dilakukan oleh tekong Am. Memandangkan proses pendaftaran mengambil masa, kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di sekitar pekan dan bergambar kenang-kenangan. Kelihatan pekan yang di Pulau Midai boleh diketegorikan sebagai “Pekan Koboi”.

Pengkalan bot di Pulau Midai

Tidak banyak kedai-kedai dan bangunan yang terdapat di sini. Kebanyakkan kedai-kedai hanya menjual keperluan asas rumah dan dapur sahaja. Walaupun pekan di Pulau Midai kelihatan jauh ketinggalan dari kemudahan moden, perairan dan pantai di Pulau Midai amat indah dan terpelihara sekali. Tidak perlu untuk pergi jauh, dari jeti tempat kami berlabuh tekah kelihatan karang-karang yang cantik berserta dengan kelibat anak-anak ikan yang banyak.

Selepas bersiar-siar seketika, kami dipelawa oleh orang tempatan di sana untuk singgah di sebuah warung yang terletak di jeti. Melihat keramahan penduduk-penduduk tempatan, kami menerima pelawaan ini dengan tangan terbuka. Salah seorangnya memperkenalkan diri Pak M. Napirussa dan beliau merupakan pengusaha cengkih di pulau ini.

Selepas kami menyatakan tujuan kedatangan kami di Pulau Midai ini, beliau yang kelihatan amat peramah menceritakan kisah sejarah tentang Pulau Midai kepada kami. Beliau juga menyatakan bahawa kumpulan kami merupakan pemancing Malaysia dan orang luar pertama yang pernah tiba di pulau ini.

Selain itu, terdapat beberapa penduduk yang berkerja sebagai nelayan sanggup berkongsi lokasi lubuk mereka dengan kami dan ini amat mengembirakan kumpulan kami. Layanan istimewa penduduk Pulau Midai tidak terhenti di situ sahaja. Beberapa rakan kami juga dibawa jalan-jalan mengelilingi pulau menggunakan motosikal. Selepas beberapa jam menanti, akhirnya proses mendapatkan kebenaran memancing di Pulau Midai berjaya mendapat kelulusan. Ini bermakna ekpedisi memancing kami akan bermula!

Suasana pekan di Pulau Midai

Mula Beraksi

Setelah beberapa jam berada di Pulau Midai, kami pun bergerak ke perairan lautan lepas selepas mendapat kelulusan memancing. Kelihatan tekong Am tercari-cari lubuk berpotensi di sekitar perairan Pulau Midai. Hanya dengan berbekalkan sedikit info dan lubuk yang dikongsi oleh nelayan tempatan menjadi modal bagi tekong Am mencari lubuk. Beberapa lokasi yang dianggap berpotensi dicuba.

Hasil yang diperolehi tidaklah sebagus mana. Hanya ikan-ikan dasar juvenail yang sudi melayan kami. Oleh kerana demikian, tekong mula bergerak lebih jauh ke barat Pulau Midai.  Beberapa jam terpaksa dilepaskan semata-mata untuk meneroka lubuk baru. Kami akan menguji setiap lubuk yang disinggahi oleh tekong. Jika lokasi yang disinggahi tidak memberi hasil yang baik, kami segera memaklumkan kepada tekong dan bot segera berpindah mencari lubuk yang lain.

Pelbagai lokasi yang kami singgahi, ada yang memberi hasil dan ada juga yang kosong. Antara lubuk yang terbaik yang kami singgahi ialah lubuk ikan cermin dan merah. Mulanya kami berhenti di sebuah lubang yang agak curam bila dilihat melalui sonar. Selepas umpan sotong diturunkan, serta merta umpan dijamah ikan. Hampir kesemua ahli trip mengalami nasib yang sama dan hasilnya ikan cermin bintik bersaiz kasar.

Selain itu ikan kerapu, merah dan ibu kerisi berkongsi bersama-sama lubuk yang sama. Jig besi juga kami turunkan untuk menguji lubuk ini dan keputusannya amat mengujakan kami. Ikan GT juga berjaya dinaikkan oleh Fahiz mengunakan jig besi seberat 120gram bersama joran Yamaga dan kekili Shimano Stella 4000 beliau. Selepas ikan dilubuk ini memenuhkan 2 tong 400qt milik bot, kami bergerak mencuba di lubuk lain.

Malam di Midai

Apabila menjelang waktu malam. Bot berlabuh disebuah lubuk yang dipenuh batu dan karang. Percubaan pertama kami menggunakan jig hanya mampu menaikkan ikan cupak dan alu-alu yang bersaiz juvenil. Walaupun hasil masih tidak memuaskan pada pancingan malam, kami masih tidak putus asa dan bersabar. Pelbagai teknik digunakan diantaranya teknik jigging dan dasar mengunakan perambut apollo dan tanduk (spreader).

Kerapu banyak di pulau ini.

Berkat kesabaran kami, kira-kira pukul 2 pagi ketika arus mula berubah, set pancingan yang digunakan pancingan dasar mula menunjukkan tanda getuan ikan. Memang benar! Ikan-ikan gred A mula memakan umpan yang kami labuhkan. Ikan Siakap Merah, Jemuduk Bintik, Ikan Merah, Jenahak dan Kerapu mula dinaikkan oleh kami satu persatu.

Saya juga memperolehi ikan kerapu bersaiz 5kg berumpankan sotong dan teknik dasar serta disusuli oleh Rostam yang berjaya menaikkan Kerapu boron yang seberat lebih 15kg ditempat yang sama. Berkat kesabaran kami memancing akhirnya kami memperolehi hasil yang melimpah ruah pada malam tersebut.

Tangkapan kerapu saya.

Merah 10 minit

Keesokkan harinya, kami meneruskan rutin mencari dan menerokai lubuk baru. Seperti semalam kami masih menjumpai lubuk-lubuk yang kosong. Ada juga lubuk yang menunjukan ikan yang banyak di sonar, tetapi apabila umpan diturunkan hasilnya sangat mengewakan. Tiada hasil yang berjaya diperolehi. Walaupun begitu masih ada juga lubuk-lubuk yang memberi hasil kepada kami. Paling mengujakan kami apabila kami terserempak dengan segerombolan ikan merah. Ketika bot berlegar-legar di perairan Midai, sonar telah mengesan segerombolan ikan yang banyak di dasar. Bot mula mengambil posisi tepat di bawah kumpulan ikan ini.

Maka kami dengan pantas mula memancing dan melabuhkan umpan. Beberapa saat umpan turun di dasar, ikan terus memakannya dan joran mula melentuk. Kami semua tidak menang tangan melayan ikan-ikan yang memakan umpan. Rupa-rupanya kami berada betul-betul tepat di atas lubuk ikan merah. Riuh rendah keadaannya apabila semua sibuk dengan hasil tangkapan masing-masing.

Hanya 10 minit memancing kami telah berjaya menaikan berpuluh-puluh ikan merah yang saiznya rata-rata 3-4kg. Kami masih meneruskan memancing sehingga gerombolan ikan tersebut beredar ke tempat lain. Selepas lubuk tersebut sunyi sepi, kami berpindah mencari lubuk lain yang berpotensi. Kami meneruskan usaha mencari lubuk atau lokasi memancing yang baru di Pulau Midai tanpa kenal erti jemu.

ikan merah memang banyak!

Pengalaman yang Bermakna

Tanpa disedari sudah 3 hari 2 malam kami berada di perairan lautan Pulau Midai. Hampir segenap perairan Pulau Midai hingga ke Pulau Natuna selatan telah kami terokai. Begitulah lumrah apabila meneroka tempat baru yang tidak pernah pemancing lain kunjungi. Banyak tenaga dan pengalaman yang diperah untuk menjayakan trip ini. Pelbagai teknik yang perlu dicuba untuk maksimumkan hasil tangkapan. Berkat usaha kami yang tidak henti-henti memancing akhirnya 6 tong milik bot penuh dengan pelbagai jenis ikan. Kami terasa sangat puas dengan kejayaan kami ini. Selain itu, berada di tempat orang telah membuka lagi pandangan kami.

Berakhirnya aktiviti memancing kami bermakna kami akan melalui perjalanan 22 jam lagi untuk pulang. Kesempatan ini kami gunakan untuk mencuci peralatan memancing kami dan berkemas untuk pulang. Perjalanan dipenuhi dengan berehat setelah 3 hari berkerja keras memancing tanpa tidur yang cukup.

Kejayaan ini juga menandakan bahawa saya telah khatam memancing di perairan kepulauan Riau. Dari Mapur, Merapas, Merakit, Malang Biru, Pulau Anambas dan akhirnya Pulau Midai Natuna telah pun saya terokai. Perbagai pengalaman manis dan pahit yang telah saya tempuhi bersama Team D7L untuk menerokai spot memancing baru di perairan kepulauan Riau ini. Insyallah pada masa akan datang, saya berharap mempunyai peluang lagi untuk meneroka spot memancing baru bersama Team D7L lagi. Apa yang pasti team D7L mempunyai banyak lagi rancangan untuk menerokai tempat baru terutamanya di perairan laut Indonesia dan Perairan India!

Sila share artikel ini jika ia menarik untuk dikongsikan. Terima Kasih!