Home Fishing IKAN KURAU MONSTER DI MUARA

IKAN KURAU MONSTER DI MUARA

Potensi Jigging Di Estuari!

1 minutes reading

By: Stever Abong ([email protected])

Rekod peribadi terbaik saya Kurau dengan jig di estuari.

Mengunjun umpan besi berwarna warni yang comel terutamanya jig bersaiz mikro kebiasaannya dilakukan di laut. Tetapi bagaimana pula potensinya di kawasan estuari? 

Muara sungai estuari adalah antara lokasi terbaik untuk mempraktikkan teknik jigging mikro.

Dari Sungai Rambungan, Sempadi sehinggalah ke Sematan saya mempraktikkan penggunaan jig mikro saiz dari 12 sehingga 30g. Sambutan dari penghuni dasar amat menggalakkan dan pelbagai spesies ikan pernah saya naikkan dengan besi comel ini. Yang pasti jig mikro ternyata bukan sahaja untuk ikan-ikan kecil, namun juga diminati ikan-ikan bersaiz kasar sehingga berat yang mencecah 10kg atau lebih!

Apabila menggunakan set ringan, setiap tentangan dari ikan harus ditangani dengan berhati-hati.
Julian gembira dengan lesen pertama ikan senangin berjaya ditewaskan dengan jig bersaiz 25g.
Set jigging spinning yang digunakan oleh Julian.

PROFIL JIG

Jig yang sering menjadi pilihan saya adalah jig yang berprofil gemuk atau kontot. Walaupun saiz kelihatan comel sahaja, namun beratnya boleh mencecah sehingga ke 30gram. Pemilihan berat jig ini bergantung kepada derasnya arus di estuari terutamanya di kawasan kuala/muara yang menjadi lokasi terbaik untuk aplikasi jigging micro ini. 

Jig kontot 18g berbelang putih dan gold ini sering diligan ikan Tanda di sini.

Tatkala pertukaran air pasang dan surut, arusnya perlahan merupakan waktu pilihan saya untuk turun casting di sungai-sungai estuari. Lebih senang untuk menggunakan jig mikro ini, getuan-getuan kecil juga lebih senang dirasakan. Ini tergantung dengan sensitiviti set pancingan yang anda gunakan.

Satu lagi jig kontot kegemaran saya di estuari

Salah satu keistimewaan jig mikro berprofil gemuk ini adalah kelebihannya untuk digunakan pada pelbagai jenis kedalaman. Jadi bagaimanakah caranya untuk memainkan jig mikro di sungai estuari? 

RITMA UNJUNAN

Jig boleh diturunkan secara vertical atau boleh dilempar jauh. Pastikan jig mencecah dasar, kemudian joran diangkat perlahan atau boleh juga dihenjut seperti teknik ‘twitch’. Selepas beberapa karauan tundukkan joran kembali sambil melepaskan tali supaya jig kembali mencecah dasar. 

Kurau dengan jig 25g.

Lakukan ia berulang kali sehingga terdapat sambaran, sekiranya tiada sambaran di dasaran lakukan teknik ‘twitching’sehingga jig hampir sampai ke permukaan. 

Teknik jigging mikro sungai kami praktikkan dengan bot berhanyut (drifting). Teknik ini lebih menyasarkan kepada spesies dasaran dan boleh merangkumi kawasan sasaran yang lebih luas. 

Ikan Tebal Pipi atau dipanggil “Umpak” di Sarawak saiz kasar ini dinaikkan dengan jig 30g berprofil gemuk.

Saya suka mempraktikkan cara ini apabila target lubuk-lubuk berkarang atau berbatu terutamanya di tengah-tengah sungai yang dalam dan dilakukan berulang-ulang kali sehinggakan tiada lagi sambaran dari pemangsa. Drifting ini juga bagus untuk mengenal pasti kawasan-kawasan permainan ikan.

PILIHAN SET

Mengapa saya tidak menggunakan set jigging mikro yang sering digunakan untuk jigging di laut lepas?

Set casting yang biasa saya gunakan untuk jigging di estuari.

Secara teknikalnya, tiada masalah untuk menggunakan set jigging yang sama, namun saya lebih suka guna set casting dengan kekili baitcast. Ini adalah kerana penggunaannya lebih pelbagai atau ‘multipurpose’

Saya kebiasaannya akan membawa dua set pancingan casting sewaktu ke estuari, 1 satu set lebih ringan iaitu 6-15lb atau 8-20lb dan 1 set yang lebih kasar supaya boleh digunakan untuk soft plastic dan juga gewang sekiranya jigging tidak menjadi.

Cuma kadangkala saya gunakan juga set jigging PE2-4 sekiranya kawasan sasaran saya diketahui mempunyai rekod tangkapan ikan saiz monster. Takut pula kalau set saiz kecil tidak mampu menahan asakan ikan. 

Keadaan ini pernah terjadi kepada saya sendiri kerana beberapa kali mendapat sambaran dan pecutan laju yang tidak dapat dikawal sehinggakan tali utama putus bila ia ditahan menggunakan ibu jari. 

Pemilihan assist hook ini juga penting, double assist hook lebih menjadi pilihan saya. Jenis mata kailnya pula adalah yang jenis wide gap, iaitu lebih lebar bukaan lengkuknya, saiz 1 atau 1/0. Saya juga pastikan assist hook itu mempunyai bulu-bulu teaser berwarna hijau terang atau bright tinsel. 

PELBAGAI SPESIES

Pelbagai spesies ikan pernah saya dan rakan-rakan naikkan dengan micro jig di sungai-sungai estuari sekitar Kuching, Sarawak ini. Di antara spesies yang pernah kami naikkan ialah ikan Tanda, Gelama, Siakap Merah, Siakap Putih, Kerapu, Senangin, Kurau, Kaci Hitam, Tebal Pipi, Bebaji, Depu, Duri dan Belukang. 

Kaci Hitam atau Kakap Batu spesies muara yang turut tergoda dengan gelekan micro jig.
Ikan Tanda ini tergoda dengan jig 18g yang dihenjut perlahan.

Kadang-kadang ikan Tirusan yang dikatakan cuma makan umpan udang hidup turut pernah dinaikkan dengan micro jig. Malah ikan Pari turut pernah berjaya dinaikkan oleh rakan saya dengan menggunakan micro jig di Sungai Rambungan!

Alu-alu Sirip Kuning, residen di kebanyakan muara di Sarawak. Kalau dia ni yang bedal jig, berdoa sahajalah supayaleader tak putus!
Ikan Baji juga suka menyambar jig micro!

Semoga maklumat ini berguna bagi rakan-rakan pancing di luar sana. Pelbagaikan teknik untuk mempelbagaikan spesies tangkapan anda. Saya juga akan terus berusaha untuk mempelbagaikan koleksi tangkapan peribadi saya! 

BENONG MONSTER

Ikan Kurau atau lebih dikenali sebagai “ikan Benong” di Sarawak ialah ikan yang bergerak mengikut musim atau lebih spesifik dikatakan bermigrasi. Jika kena musimnya ramai nelayan akan bergasak dan saiznya juga kasar-kasar belaka!

Kurau yang bersaiz kasar ini berjaya saya tewaskan di salah satu lubuk berbatu kira-kira 200m dari muara Sungai Rambungan. Boleh dikatakan ia merupakan lubuk persinggahan utama sewaktu ia bermigrasi sebab saban tahun mulai Julai sehinggalah ke awal September pasti akan ada pemancing yang berjaya menaikkan Kurau saiz belasan kilogram di muara ini. 

Rekod peribadi saya di Sungai Rambungan iaitu kurau berskala 16.8kg berjaya saya naikkan dengan menggunakan jig saiz 30gram, dengan menghenjut jig secara vertikal tatkala berhanyut (drifting) sepanjang kawasan sasaran. 

Untuk makluman semua, kedalaman lubuk yang saya kena Kurau kasar tersebut ialah sekitar 20 sehingga 40 kaki sewaktu diimbas menggunakan sonar di salah satu trip saya sebelumnya. Ini bermakna spesies ini suka bermain di alur sungai yang dalam tempat laluan arus utama keluar masuk ke sungai. 

Kurau jenis ikan pemangsa yang kuat pecutannya, namun ia tidak selicik Siakap Merah yang cuba melarikan diri ke struktur berbatu atau bangkar kayu. Bila jig disambarnya, terasa seakan-akan getuan ikan yang kecil sahaja, namun bila dibalas dengan sentapan ia mula membuat pecutan yang memuntahkan tali. 

Saiz kasar sebegini tenaganya sememangnya kuat, beberapa pecutan ke pelbagai arah dilakukannya setulusnya amat mencemaskan saya. Dinasihatkan supaya banyakkan bersabar sewaktu berlawan dengan spesies ini, jangan terlalu dipaksa dan biarkan ia sendiri menyerah secara perlahan-lahan. 

WAKTU

Mengikut pengamatan saya, spesies ini mulai aktif terutama sekali sewaktu air surut hampir mati sebelum pertukaran air ke pasang terutamanya ketika arus mulai tenang. Sambaran rakus Kurau monster ini adalah sekitar jam 9.30 pagi ketika arus agak perlahan kerana hampir pasang penuh.

Set yang saya gunakan merupakan joran berkekuatan 8-20lb, tali utama braided 20lb dan leader 50lb. Manakala jig30gram yang digunakan adalah berbentuk pendek dan bulat dan ia lebih cepat tenggelam. Kekili yang saya gunakan ialah set Daiwa Zillion lama dengan max. drag 5kg, itupun ia diselaraskan pada kekuatan sekitar 80-85% sahaja. 

Perlawanan adalah sekitar 10-12 minit kerana permainan terlalu berhati-hati ditambahkan lagi dengan penggunaan set yang kecil dan assist hook yang digunakan juga bersaiz 1/0 sahaja. Namun ia sememangnya tangkapan Kurau terbaik saya dan pastikan ia bukan terakhir!

* Sila share jika anda dapati artikel ini menarik untuk dikongsikan, terima kasih!

Sila tonton video pancingan Kurau di bawah.