1 minute reading
Penduduk kampung di Pulau Koh Preah di Sungai Mekong, di selatan daerah Stung Treng Cambodia telah berjaya menangkap seekor ikan Pari Air Tawar yang telah direkodkan sebagai ikan air tawar terberat di dunia dengan berat rasmi 661lb (300kg)!

Ikan ini telah memadam rekod ikan air tawar terberat sebelumnya iaitu ikan Patin (Plabuk) seberat 293kg yang ditangkap di kawasan hulu utara Thailand pada tahun 2005!

Spesies Pari Air Tawar ini juga diberi nama “BORAMY” oleh penduduk tempatan, yang bermaksud “bulan penuh” dalam Bahasa Khmer. Ini berikutan profil badannya yang bulat seperti bulan mengambang dengan badan yang menebal ke bahagian tengahnya.
Ikan raksasa ini juga diukur dengan panjang keseluruhan (total length), 4 meter (13 kaki)!

Berita baiknya pula, ikan Pari betina ini telah dilepaskan semula ke habitat asalnya selepas ditagging dengan tag elektronik bagi dipantau dan dikaji oleh saintis untuk pergerakan dan kelakuannya (behavior) di sungai tersebut.


Menurut saintis tempatan, kewujudan ikan Pari Air Tawar raksasa ini membuktikan bahawa ekosistem Sungai Mekong masih lagi mampan serta lestari dan memberi harapan banyak lagi spesies ikan-ikan lain terutamanya Pari Air Tawar yang lain dapat bertahan di habitatnya, walaupun Sungai Mekong ini sememangnya terkenal di dunia sebagai satu sungai yang telah menerima tekanan yang tinggi terhadap lampau tuai stok perikanannya, pencemaran, hakisan tebing sungai dan pelbagai lagi.
SUNGAI-SUNGAI DI MALAYSIA
Persoalannya, senario yang hampir sama juga berlaku di negara kita Malaysia. Masalah pencemaran, lampau tuai ikan-ikan, kemasukan spesies ikan-ikan asing, pembalakan, pembangunan dan pelbagai lagi juga berlaku di sini.
Adakah hidupan sungai kita dapat bertahan? Bagaimana pula dengan spesies ikan saiz kasar tempatan kita seperti Tapah dan Temoleh/Temelian? Begitu juga spesies berharga seperti Kelisa dan Kelah?
Harapan kami di Outdoor Lab, sama-samalah kita menjaga sungai-sungai kita semoga kelestariannya dengan spesies ikan tempatan kita mampan selama-lamanya untuk generasi kita yang akan datang!
Jika sistem sungai kita terjaga, tidak mustahil satu hari nanti terpapar berita tangkapan ikan air tawar kita yang berskala besar. Mungkin bukan untuk rekod dunia, tetapi setidak-tidaknya untuk rekod Malaysia!
Sila share artikel ini jika anda rasakan ia bermanfaat untuk dikongsikan, tq!