Home Fishing Bottom COARSE FISHING siri 2

COARSE FISHING siri 2

Coarse fishing Siri 2 Bahagian 1 FEEDER FISHING

1 minute reading

By: Tengku Izzudin Tengku Ismail ‘Guvnor’ ([email protected]

Feeder Fishing Bahagian 1

Sebahagian daripada koleksi swimfeeder yang biasa saya guna.

MAJU DAN TERUS MAJU!

‘Feeder’ merupakan singkatan kepada ‘swimfeeder’, membawa maksud ‘pemberi makan ke kawasan pancingan’. Di kala ini, teknik pancingan dasar ini telah menjadi pilihan utama bagi majoriti pemancing di Eropah.

Berbalik kepada isu lepas mengenai pengenalan kepada Coarse Fishing, isu kali ini saya akan tumpukan kepada pancingan Feeder yang menjadi salah satu cabang utama Coarse Fishing. 

Tatkala pole fishing boleh dikategorikan sebagai pancingan jarak dekat sekitar 13-14 meter, feeder fishing lebih sesuai bagi pancingan jarak sederhana ke jarak jauh iaitu di antara 30-100 meter dari tebing.

ANTARA FUNGSI-FUNGSI SWIMFEEDER:

  1. Membolehkan pemancing menumpukan umpan di satu kawasan yang jauh secara tepat dan efisien. Ini bukan sahaja boleh menarik ikan dari kawasan lain untuk berkunjung di kawasan ‘perangkap’ anda, tapi juga terus tertumpu di kawasan tersebut.
  2. Berat dan bentuk swimfeeder memudahkan pemancing membuat lontaran mengikut keadaan air atau cuaca serta jenis dasar. Contohnya ketika memancing di perairan yang dalam atau air deras, keperluan memotong angin atau dasar yang lembut mempengaruhi pilihan swimfeeder yang akan digunakan.
  3. Pilihan jenis swimfeeder serta cara anda mengisinya di samping frekuensi lontaran membolehkan pemancing menyasarkan untuk menangkap ikan sama ada di dasar atau pertengahan air, besar atau kecil termasuk juga spesies-spesies tertentu mengikut tabiat pemakanan ikan.
Saya bersama Juara Dunia 4 kali, Bob Nudd, yang juga merupakan ahli kehormat MCFA.

PERJALANAN

Suatu ketika dulu sekitar pertengahan 1990-an ketika saya mula berjinak-jinak dengan Coarse Fishing selepas bertukar daripada pancing layang, pole fishing adalah teknik yang paling digilai sehinggakan hampir kesemua artikel, video, ujian lapangan serta perkembangan peralatan memancing hanya tertumpu kepada pole fishing sahaja dan feeder fishing ini seperti disisihkan. Namun, umpama roda kehidupan juga, kadangkala kita di bawah, kadangkala kita di atas, selepas hampir 20 tahun ke hadapan, trend ini umpama telah beranjak 180 darjah.

Nafas baru yang dikecapi oleh feeder fishing ditambah pula dengan pelbagai peralatan memancing moden bersama taktik-taktik dan teknik-teknik terbaru dan munculnya sifu-sifu feeder fishing umpama memberi suntikan dan lonjakan untuk sukan ini.

Steve Ringer, antara pemancing feeder yang termasyhur di seluruh Eropah.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa terjadinya perubahan ini? Pada pendapat saya, walaupun teknik pole fishing masih boleh membuahkan hasil, akan tetapi, beberapa faktor seperti perubahan iklim dan persekitaran serta tekanan pancingan telah sedikit sebanyak mengubah tabiat pemakanan ikan. 

Sebagai contoh, suatu ketika dulu di Ireland, jumlah tangkapan pole fishing sekitar jarak 13-14 meter dari tebing semasa pertandingan 5 jam boleh mencecah 100kg. Akan tetapi masa itu sudah berlalu walaupun sebenarnya ikan masih ada dalam jumlah yang banyak kerana coarse fishing sentiasa mengamalkan konsep tangkap dan lepas. 

Lagi contoh swimfeeder yang digunakan untuk coarse fishing.

Ketidaktentuan cuaca serta terlepasnya organisma asing seperti ‘zebra mussel’ di perairan Ireland telah menyebabkan air menjadi jernih dan secara tidak langsung menolak ikan ke kawasan yang lebih dalam dan jauh dari tebing. Ini antara faktor yang memaksa pemancing untuk perlu mahir juga dalam pancingan jarak jauh untuk menyasarkan ikan-ikan tersebut.

Di samping itu, teknik-teknik serta taktik-taktik yang lebih terperinci dan efisien yang dipelopori sebilangan ‘specialist’ feeder fishing antaranya Bob Nudd, Steve Ringer dan Jamie Harrison telah mengembangkan lagi sukan feeder fishing ini. Sungguhpun begitu teknikal cara pancingan mereka, ianya terus digilai para pemancing yang dahagakan tarikan ikan yang ‘non-stop’!

Jamie Harrison, seorang pemancing feeder yang sedang meningkat ketika ini. Ikuti channel YouTube beliau: CATCH Fishing Channel.

KEJOHANAN

Ledakan minat terhadap feeder fishing ini begitu menonjol sehinggakan pelbagai Kejohanan yang melibatkan feeder fishing terus berkembang dan menarik perhatian ribuan pemancing Eropah. Selain Kejohanan Dunia untuk feeder fishing yang berformat pasukan kebangsaan, terdapat juga Kejohanan untuk individu seperti Feedermasters, Walterland Series, Feederfest dan World Pairs Angling Championship (format beregu).

Tetapi perlu diingat, sama juga seperti teknik coarse fishing yang lain, feeder fishing tidak sesuai untuk pemancing yang ‘kurang rajin.’ Lontaran umpan setiap 1-3 minit menjadi kebiasaan, tumpuan perlu diberikan sepanjang masa dan taktik sentiasa perlu berubah. 

Nasihat utama yang saya pegang daripada sifu-sifu feeder fishing ini adalah hasil tangkapan kita selari dengan kadar kerja kita. Jadi sekiranya kita pemancing yang terlalu ‘santai’, kemungkinan teknik ini kurang keberkesanannya. Tetapi jika sanggup bekerja keras, feeder fishing ini memang ‘berhantu’! 

Phillip Jackson, Seorang pemancing lagenda Ireland yang sukar dikalahkan!

Jumpa lagi di posting akan datang untuk bahagian ke-2 feeder fishing!

Sila share jika anda dapati artikel ini menarik untuk dikongsikan, terima kasih!